Ahad, Ogos 16, 2009

Surat untuk semua

Salam.

Kali ini saya terdetik untuk mencoret perihal yang membelenggu para Darters Malaysia selama ini. Anda semua pasti dapat meneka perihal apakah ia kan?

Cuba anda search di internet, hal-hal berkaitan senario Dart di Malaysia. Memeranjatkan, tiada! Kalau ada pun, sekadar keputusan kejohanan-kejohanan yang mana kebanyakannya merupakan tulisan media luar, seperti Filipina, Singapura dll. Sedikit kredit untuk akhbar-akhbar di Malaysia Timur seperti New Sabah Times, Daily Express dan Malay Mail yang mana ada membuat liputan walaupun tidak se-gah sukan-sukan yang lain.

Terus terang, saya mewakili Darters generasi baru amat-amat memerlukan pendedahan dan info untuk senario Dart Malaysia amnya. Di zaman siber dewasa ini, tidak mustahil bagi kami untuk mencari apa-apa berita mahupun info di ruangan siber. Namun, tiada apa-apa. Pihak Malaysian Darts Federation (MDF) juga tidak mempunyai laman web sendiri. Di mana panduan yang boleh digunapakai mahupun sebagai rujukan? Berapa banyak Persatuan Dart Negeri yang berdaftar dengan MDF? Berapa banyak Kelab dan Persatuan Dart yang wujud dalam Malaysia ni? Tiada siapa yang boleh memberi angka yang tepat.

Saya di sini mencadangkan agar pihak yang berkenaan menggunakan platform yang ada untuk memantau kewujudan Kelab-Kelab dan Persatuan-Persatuan Dart, menyelaras aktiviti dan Kejohanan-Kejohanan Dart seluruh negara (samada Terbuka, Tertutup mahupun Jemputan) melalui takwim agar tiada pertindihan, mewujudkan sistem ranking dalam pemilihan pemain ke Kejohanan Dunia, contoh: membuat sistem permakahan di setiap kejohanan dan di hujung tahun diadakan satu Grand Slam dan hanya 10 pemain yang mengumpul mata tertinggi sahaja yang layak beraksi. Kemudiannya mengadakan liputan langsung atau tertunda di kaca-kaca televiysen mahupun melalui laman web, membolehkan agar masyarakat lebih kenal dan faham mengenai sukan Dart ini. Di sini kelak kita akan nampak persaingan yang sihat dan kompetitif.

Sukan Dart merupakan sukan yang berpendapatan besar. Cuba lihat kejohanan-kejohanan yang dianjurkan oleh Profesional Darts Corporation (PDC), British Darts Organisation (BDO) mahupun World Darts Federation (WDF), rata-rata menawarkan hadiah yang lumayan. Pemain-pemain di luar negara telah pun menjadikan sukan Dart ini satu kerjaya profesional mereka, bukan sesuatu yang mustahil untuk di buat di sini, jika kena dengan gaya dan aturannya. Sekurang-kurangnya kita kena pusatkan matlamat untuk melihat anak Malaysia bermain di pentas PDC World Darts Championship, PDC Grand Slam of Darts, PDC Darts Premier League mahupun Winmau World Masters! Saya begitu cemburukan kehadiran Lourence Ilagan (Filipina) di dalam PDC World Darts Championship 2009, sesuatu yang amat membanggakan negara mereka walaupun kalah di pusingan pertama lagi.

Di sini kita akan lihat penaja merupakan antara elemen penting dalam hala tuju pemain dart profesional. Unicorn, Target, Datadart, Harrows, Winmau, Bull's dan yang terkini TIGA yang giat menaja pemain-pemain Dart yang berpotensi besar sebagai satu usaha promosi dan penambahbaikan dalam keluaran mereka. Dan saya amat berbangga dengan pencapaian anak Malaysia pertama mempunyai darts signature sendiri oleh syarikat pembekal luar negara iaitu Amin Abdul Ghani (A.G. Amin)! Diharap akan lebih ramai pemain-pemain Dart negara ini akan mengikut jejak langkah beliau di masa hadapan. Peluang sebegini digunakan untuk membuka mata dunia luar mengenai potensi dan kebolehan anak Malaysia, mengambil pengalaman dan pengetahuan dan mempromosikan Malaysia di mata dunia.

Nama-nama seperti Tengku Hadzali Shah, Mohd Latif Sapup, Selbaraju Subramaniam, Anandan Tandrian, Clairines Joseph, Thomat Darus, Jimmy Lee, S Mages, K Manikkavasagam, Wan Md Fauzi, Steven Simon, Tisius Ubu, Sangga Ismail, Zulkifli Haji Matali, Nardi Lasaaba, Norhisame Catan, Thomas E, Ravi Sandiran dan Suberamaniam Simmachalam dilihat mampu untuk mengangkat mertabat sukan Dart di negara ini, sekaligus menjadikan Dart satu sukan yang diterima ramai dan diterapkan di dalam aktiviti di peringkat sekolah khususnya.

Ini sekadar renungan buat kita semua. Kita takkan ke mana-mana 10-20 tahun lagi jika kita masih bertindak untuk mendiamkan diri. Lu fikirlah sendiri.

Salam,
ZMY (MH),
MDJ Darters.

2 komen:

Dart Kastam Selangor berkata...

Saya sokong keluhan dan pandangan saudara. Entah bila kita (Malaysia) akan maju dalam sukan dart nih?

Unknown berkata...

Saya pun perlukan dana untuk melibatkan diri dalam tournament dart. Saya telah berkecimpung dalam dunai dart mulai tahun 2004 dan telah melibatkan diri keluarga dari kepompong negeri sendiri. Malangnya bajet selalu menjadi penghalang sekiranya ada dana yang dapat dipinjam alangkah baiknya.

Catat Ulasan